HUBUNGI

8 Kepentingan Kajian Pasaran Yang Perlu Anda Ketahui!

Definisi Kajian Pasaran

Selain itu dengan kajian pasaran juga dapat membantu menentukan daya maju sesuatu produk dan perkhidmatan sekaligus membangunkan strategi pemasaran yang berjaya. Data yang diperolehi daripada kajian tersebut juga membantu menyelesaikan cabaran pemasaran yang berkemungkinan akan dihadapi oleh sesuatu perniagaan. Malah, strategi seperti pembahagian pasaran (mengenal pasti kumpulan tertentu dalam pasaran) dan pembezaan produk (mencipta identiti untuk produk atau perkhidmatan yang membezakannya daripada pesaing) adalah mustahil untuk dirungkai tanpa melaksanakan kajian pasaran.

  • Untuk mendapatkan pemahaman tentang pasaran
  • Untuk mengenal pasti perubahan dalam pasaran
  • Untuk meningkatkan kesedaran pasaran
  • Untuk mendapatkan pemahaman tentang keperluan pelanggan
  • Untuk mengurangkan risiko dan ketidakpastian
  • Untuk menjangka /meramalkan arah aliran pasaran
  • Untuk menyediakan strategi pemasaran yang kukuh

Jika anda terfikir untuk mengabaikan kajian pasaran? Fikir semula.

Sebilangan besar kegagalan sesebuah produk atau perkhidmatan adalah berpunca daripada tidak menjalankan kajian pasaran. Kerana mereka yang gagal membuat persediaan adalah mereka yang bersiap untuk gagal.

Jadi, di manakah terletaknya kepentingan kajian pasaran dan apakah faedah yang berkaitan dengannya?

Berikut merupakan 8 faktor utama kenapa kajian pasaran diperlukan:

8 Kepentingan Kajian Pasaran
  1. Mengenal pasti produk atau perkhidmatan baharu

Kajian pasaran boleh membantu anda menemui produk atau perkhidmatan baharu yang diperlukan oleh pasaran semasa dan bagaimana anda boleh menawarkannya. Faktor utama dalam membangunkan produk tertentu juga boleh dikenal pasti dan ia boleh membantu anda mengurangkan kesilapan dalam pelaksanaannya.

  1. Mengenal pasti bakal pelanggan

Data demografi seperti jantina, umur, pendapatan, pekerjaan dan gaya hidup boleh membantu anda memahami latar belakang pelanggan anda dengan lebih mendalam. Jika anda memahami sasaran pelanggan semasa anda, anda juga mampu untuk menarik pelanggan baharu dengan mudah pada masa hadapan. Pemasaran kepada jenis pelanggan yang salah boleh menyebabkan prestasi produk menjadi buruk.

  1. Mewujudkan daya maju produk atau perkhidmatan

Jika syarikat anda sudah merancang untuk menawarkan produk atau perkhidmatan baharu ke pasaran, anda perlu terlebih dahulu memastikan sama ada produk tersebut mempunyai tempat dipasaran. Adakah produk itu akan dialu-alukan? Adakah produk diperlukan oleh pelanggan yang anda sasarkan? Adakah ia berdaya maju dan apakah potensinya untuk berjaya?

  1. Memastikan syarikat anda mendahului pesaing

Kajian pasaran berupaya menjejak kemajuan pesaing produk anda sekaligus membandingkannya dengan prestasi syarikat anda. Jika syarikat pesaing telah Berjaya dihadapan ini adalah peluang yang baik untuk anda mempelajari perbezaan yang mereka lakukan dan mengaplikasikannya di syarikat anda.

  1. Menentukan strategi pemasaran terbaik

Kajian pasaran sangat bagus untuk menentukan paltform atau saluran yang terbaik yang digunakan oleh pelanggan yang berminat dengan produk yang anda tawarkan. Jika anda dapati bahawa sasaran pelanggan anda lebih kerap menggunakan platform tertentu berbanding yang lain, anda seharusnya memberikan fokus yang lebih keatas platform tersebut.  

  1. Mengurangkan risiko dan meningkatkan keuntungan

Kajian pasaran memberikan pengetahuan yang mendalam kepada anda untuk membantu mewujudkan daya maju pasaran yang mengurangkan risiko kegagalan. Ia juga membantu anda memahami risiko yang patut diambil berdasarkan maklumat masa lalu dan ramalan arah aliran pasaran pada masa hadapan.

  1. Mengenal pasti ancaman dan peluang

Ramai di antara anda mungkin pernah mendengar tentang analisis SWOT. SWOT bermaksud kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman. Kajian pasaran boleh membantu untuk menentukan keempat-empat elemen ini. Di manakah kekuatan dan kelemahan syarikat anda? Apakah peluang yang tersedia untuk perniagaan anda di pasaran anda? Apakah ancaman/risiko yang perlu anda atasi atau elakkan untuk berjaya?

SWOT dalam Perniagaan
  1. Membantu memahami pelanggan sedia ada

Semua sedia maklum, pelanggan bersifat kompleks dan apa yang mereka mungkin perlukan sebelum ini mungkin tidak lagi perlukan sekarang. Untuk berjaya, anda perlu menyemak keperluan pelanggan anda dengan kerap. Apakah keperluan segera mereka? Adakah terdapat keperluan baharu yang boleh dipenuhi oleh syarikat anda? Apakah pendapat mereka tentang syarikat dan produk anda?

Kajian pasaran juga membantu untuk mewujudkan tahap kepuasan pelanggan. Jika anda mendapati tahap kepuasan mereka rendah, anda boleh mengetahui sebabnya dan membetulkannya. Jika ia tinggi, anda boleh menentukan sebab ia tinggi dan berusaha untuk mengekalkan tahap itu.

Kepentingan kajian pasaran memang tidak disangkal lagi dalam dunia perniagaan. Kini semakin banyak perniagaan baharu yang mampu mengekalkan kejayaan buat jangka masa yang panjang kerana pemiliknya menjalankan kajian pasaran secara berkala untuk memahami pasaran sasaran mereka, mengenal pasti masalah pelanggan dan menentukan pesaing yang realistik. Tiada istilah terlambat, kajian pasaran boleh dijalankan pada pelbagai peringkat hayat perniagaan, dari prapelancaran dan seterusnya. Mempunyai pemahaman yang lebih mendalam tentang pasaran anda dari awal lagi akan membolehkan anda mencipta strategi perniagaan yang kukuh untuk menubuhkan atau mengembangkan jenama anda menjadi suatu yang lebih baik daripada pesaing.

crossmenu