Sebagaimana permulaan untuk memasak, kita harus sediakan bahan-bahannya dahulu. Maka, untuk menghasilkan sebuah penulisan yang bakal menjadi ‘anak emas’ untuk anda, kami akan berikan tips yang sarat dengan pengetahuan serta penjelasan sebagai ramuannya. Berikut adalah 3 kriteria dengan penerangan yang lebih jelas tentang bagaimana untuk memulakan penghasilan sesuatu cerita. 1. Inspirasi Adalah Asas Penulisan Terdapat […]
Sebagaimana permulaan untuk memasak, kita harus sediakan bahan-bahannya dahulu. Maka, untuk menghasilkan sebuah penulisan yang bakal menjadi ‘anak emas’ untuk anda, kami akan berikan tips yang sarat dengan pengetahuan serta penjelasan sebagai ramuannya.
Berikut adalah 3 kriteria dengan penerangan yang lebih jelas tentang bagaimana untuk memulakan penghasilan sesuatu cerita.
1. Inspirasi Adalah Asas Penulisan
Terdapat pelbagai sumber yang boleh diambil sebagai inspirasi. Antaranya, lirik lagu, artikel berita, pengalaman saudara terdekat atau kawan-kawan, media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok, dan juga Youtube.
Semua ini boleh digarap menjadi inspirasi untuk penulisan anda. Sebagai permulaan anda boleh mencipta watak-watak yang bakal anda ketengahkan dalam penulisan ini iaitu watak Antagonis, Protagonis, serta watak sampingan. Yang paling penting adalah watak utama.
Ramai penulis menghasilkan cerita tanpa sebarang perkembangan pada watak utama. Maksudnya di sini adalah, watak utama kekal atau statik tanpa sebarang cabaran dan perubahan pola perwatakan. Hal ini menjadikan jalan cerita anda kurang menarik, dan pembaca boleh mengagak pengakhiran cerita.
Antara 5 ciri wajib untuk mencipta watak utama atau watak lainadalah:
Cabaran utama atau cabaran semasa pertengahan cerita (tidak mempunyai ilmu yang tinggi, kekurangan dari segi kewangan, sering dibuli)
Konflik adalah apabila watak utama mengharungi salah faham (ditahan pihak berkuasa, terperangkap di dalam terowong, kehabisan minyak semasa dalam perjalan)
Watak yang sentiasa disisi watak utama (sahabat baik, adik, kakak, ibu, bapa)
Harus menasihati watak di dalam setiap perbuatannya
Membantu watak utama setiap kali mengharungi cabaran
Melalui ciri-ciri watak utama yang telah dihasilkan, pastinya anda sudah mendapat inspirasi untuk mencipta watak-watak lain. Sebagai contoh watak Antagonis. Siapakah itu watak Antagonis, dan apakah ciri wajib watak tersebut?
Ramai antara kita yang beranggapan bahawa watak Antagonis adalah jahat dan kejam. Namun tidak semestinya begitu, watak Antagonis boleh menjadi ibu yang penyayang tetapi terlalu mengongkong anaknya untuk mencuba sesuatu yang baharu, atau mencapai impian.
Lanjutan daripada itu, setelah watak-watak telah tercipta pastinya anda boleh meneruskan penghasilan cerita anda dengan menetapkan genre atau tema terhadap cerita anda.
2. Genre / Tema Yang Bersesuaian Untuk Penulisan
Bagi mengenakkan lagi penulisan anda, langkah berikutnya adalah untuk menetapkan genre serta tema di dalam penceritaan. Genre adalah sebagai acuan di dalam pembuatan keseluruhan cerita anda.
Sebagai contoh terdapat 10 genre yang sering digunakan dalam penulisan iaitu:
Aksi
Seringkali berkaitan dengan filem yang berkait dengan gangster, Polis, Askar, Bomba, Ahli Gusti.
Fantasi
Biasanya mengenai cerita-cerita dongeng seperti Bawang Merah Bawang Putih, Dayang Senandung, Harry Potter.
Seram
Boleh menjadi cerita hantu, atau cerita yang berkaitan dengan alam mistik lainnya.
Misteri
Sering menceritakan tentang kisah-kisah yang memerlukan penyelesaian atau kisah sejarah yang masih belum menemui jawapan.
Politik
Boleh bersangkut-paut dengan Peguam Bela, Hakim, Polis, Ahli Politik, Usahawan.
Romantik
Antara genre yang sangat popular di seluruh dunia. Biasanya mengenai pasangan bercinta.
Fiksyen Sains
Selalunya berkisarkan tentang hasil atau kejadian dari makmal sains. Boleh menjadi seperti haiwan hybrid, zombie, raksasa.
Ngeri (thriller)
Mempunyai ciri gabungan seram dan aksi, tetapi lebih ganas dan melampaui dunia realistik seperti berkaitan dengan masalah kesihatan seperti trauma, phobia, igauan ngeri.
Peperangan
Cerita berlatarkan tentang tarikh bersejarah, kejadian benar yang dilakonkan dan diolah semula.
Komedi
Suatu genre yang agak popular dan luas untuk diterokai, diubah serta digabung dengan genre lain (Romantik Komedi, Aksi Komedi, Seram Komedi).
Apabila anda sudah tahu acuan yang ingin anda gunakan untuk menulis, pastinya anda mahu tahu apakah perasa tambahan yang bersesuaian dengan cerita anda. Pemilihan tema yang haruslah kena dengan genre yang dipilih.
Hal ini kerana, melalui tema yang tepat, maka jalan penceritaan boleh dijadikan lebih menarik dengan timbulnya pelbagai konflik untuk mencapai pengkahiran.
Berikut adalah 5 jenis tema yang popular dan sering diterapkan:
Baik dan Jahat
Tema ini adalah antara yang mudah dan kerap digunakan iaitu setiap penceritaan pasti ada yang baik dan dikasihi, ada juga yang jahat ataupun yang cemburu dengan kelebihan watak lain.
Cinta
Cinta adalah sebuah tema yang boleh digunakan dengan bebas. Sebagai contoh; cinta terhadap agama, cinta terhadap haiwan, cinta terhadap keluarga.
Dendam
Pada kebiasaannya dendam boleh membawa erti dendam terhadap perbuatan kejam, dendam pertuduhan palsu, dendam apabila dipergunakan.
Keberanian dan Ketabahan
Bagi tema keberanian dan ketabahan pula antara tema yang sangat sesuai di dalam penceritaan tentang menegakkan keadilan, peperangan, kepayahan menghadapi ujian.
Kematangan
Maksud kematangan di dalam sesebuah penceritaan adalah apabila watak utama telah mengalami kedewasaan sepanjang kisah tersebut. Iaitu penceritaan dari dirinya kecil/remaja sehingga dewasa atau masa kini.
Setelah pasti akan genre dan tema yang anda gemari untuk penceritaan anda, maka seterusnya kita akan tentukan bagaimana anda ingin bercerita.
3. Struktur Naratif Dan Plot Yang Menarik
Pemilihan struktur naratif adalah amat penting bagi memberi impak kepada pembaca. Hal ini kerana, dengan penyusunan jalan cerita yang memberi akan menjadikan pembaca tidak sabar untuk ke bab seterusnya.
Tambahan pula, perkara ini sama apabila kita menonton drama bersiri di televisyen. Setiap episod memainkan peranan penting bagi mengetahui kisah untuk episod seterusnya.
Dalam erti kata lain, struktur naratif adalah penceritaan terhadap sesuatu agenda atau acara yang berkaitan dengan watak. Bukan sahaja itu, malah juga boleh mengetengahkan kreativiti penulis untuk mengatur plot supaya pembaca akan lebih teruja dan secara tak langsung mengingati karya penulisan anda.
Terdapat 5 struktur naratif yang boleh anda pilih:
Linear (mengikut kronologi)
Plot berbentuk Linear adalah antara plot yang mudah dan selalu digunakan di dalam penulisan.
Linear adalah pada dasarnya mengikut susunan atau waktu setiap peristiwa yang berlaku termasuk adegan imbas kembali.
Antara contoh ringkas plot Linear di dalam filem adalah seperti; Batman Dark Knight Rises (2012), Oceans 11 (2001), The Terminal (2004), dan Mukhsin (2006).
Non-Linear (tidak mengikut kronologi)
Non-Linear adalah bermaksud tidak mengikut garis waktu semasa dan melanggar garis waktu biasa.
Ia berlaku apabila penceritaan anda bermula dengan masa akan datang (future), berkembang dengan masa kini (present), dan berakhir dengan masa lepas (past) atau tahun sebelumnya.
Pada kebiasaannya penulis yang menggunakan garis masa Non-Linear gemar bermain dengan watak dan peristiwa.
Contoh filem yang menggunakan plot Non-Linear adalah; Pulp Fiction (1994), Eternal Sunshine of the Spotless Mind (2004), Kill Bill Volume 1 (2003) dan 500 Days of Summer (2009).
Circular (berputar kembali)
Bagi plot Circular atau berputar kembali juga antara plot yang mudah tetapi menarik untuk digunakan pada penceritaan anda
Circular bermaksud, cerita anda bermula pada masa kini (present), kemudian perkembangan adalah masa lepas (past), dan berakhir kembali pada masa kini (present).
Antara filem yang menggunakan plot Circular adalah; Catch Me If You Can (2002), Titanic (1997), Wonder Woman (2017) dan The Wanted (2008).
Parallel (selari)
Untuk plot berbentuk Parallel pula adalah penceritaan menggunakan beberapa watak yang berkisar tentang sesuatu peristiwa yang sama pada waktu yang sama.
Boleh menjadi kisah ini berkisar di dalam ruang soal jawab dengan pihak polis, atau juga boleh jadi beberapa watak bercerita pada satu watak yang perlu tahu apa terjadi terhadap watak utama yang berkemungkinan adalah misteri.
Sebagai contoh yang mudah dan boleh disaksikan di dalam filem seperti; 3 Idiots (2009), 4,3,2,1 (2010), Finding Nemo (2003), dan The Great Gatsby (2013).
Interaktif
Gaya plot Interaktif adalah lebih kepada gaya penulis yang memberi pilihan kepada pembaca untuk memilih peristiwa atau babak seterusnya
Antara contoh yang mudah difahami adalah seperti buku cerita kanak-kanak dengan gambar pop-up dan pilihan seperti warna serta objek.
Setelah meneliti dan mengambil kira semua tips-tips yang kami kongsikan di atas, usah rasa risau dan resah untuk mula menulis. Tips yang diberikan adalah sebagai panduan dan bimbingan semata. Kreativiti dan keunikan setiap penulis adalah anugerah kepada diri anda sendiri.
Ambil pen dan kertas, mulakan satu baris ayat sahaja. Inspirasi, Genre dan Tema, serta Struktur Naratif akan menyusul kemudian dan pastinya idea akan mengalir tanpa henti.