Pada hari ini, terdapat pelbagai saluran komunikasi yang sering kita tulis untuk meluahkan sesuatu perkara atau memberitahu dan membincangkan topik-topik terkini samada yang berlaku di dalam kehidupan kita atau yang sudah menjadi memori. Tanpa kita sedar, ianya juga mempengaruhi kehidupan dan kerjaya kita kerana penulisan memainkan peranan yang sangat besar samada positif ataupun negatif.
Cara berkomunikasi dalam penulisan juga mendatangkan banyak faedah. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah penulisan tidak memberi perhatian kepada diri sendiri sahaja, menulis dengan teliti, bersikap terbuka serta jujur dalam menyampaikan sesuatu maklumat atau informasi.
Penulisan adalah untuk bertindak menyampaikan idea melalui komunikasi bertulis. Ia merupakan elemen komunikasi yang sangat penting dan tidak boleh dipandang 'enteng'. Rata-rata kita pada hari ini terlepas pandang dalam memperkasakan kemahiran menulis. Mereka hanya lebih mementingkan gaya penampilan diri, teknik bahasa badan untuk dilihat berkeyakinan dan juga lebih fokus kepada pengucapan awam.
Justeru itu, perlu difikirkan apakah niat kita untuk menulis. Setiap perbuatan bermula dengan niat. Marilah kita sama-sama mendidik masyarakat melalui penulisan yang bermanfaat. Perkara yang baik juga perlu dihebahkan agar ramai yang menerima manfaatnya. Ia adalah untuk memaklumkan segala maklumat atau peristiwa, info yang menarik serta situasi terkini. Sebelum memulakan sesuatu penulisan, kebenaran maklumat tersebut 'wajib' diambil kira. Tidak perlu membuat penulisan yang meragukan atau menjejaskan keharmonian sesuatu perkara. Ia mestilah mempunyai penulisan yang jujur serta menghormati antara satu sama lain. Semakin banyak kita memberi, semakin banyak kita menerimanya. Jadikan penulisan kita sebagai sumber rujukan atau inspirasi kepada pembaca yang membacanya.
Ramai di kalangan kita menulis samada di status media sosial, "Telegram", "Whatsapp", menulis emel, dan pelbagai lagi saluran komunikasi tanpa menyedari bahawa penulisan memainkan peranan yang amat besar dalam mempengaruhi kehidupan serta profesion kita. Ini adalah beberapa kaedah penting untuk keperkasaan penulisan dengan lebih baik :-
1. Kenalpasti pembaca / audiens
Sebelum memulakan penulisan, perkara pertama yang perlu diambil kira adalah mengenalpasti siapa pembaca atau audiens kita. Ianya sangat penting kerana dapat menyampaikan 'mesej' yang berkesan kepada pembaca.
2. Jadikan diri kita sebagai audiens
Sebenarnya hubungan yang baik adalah melalui penulisan. Bayangkan diri kita sendiri sebagai audiens dengan meletakkan diri kita pada kedudukan mereka. Bayangan seperti ini dapat menjiwai pembaca dalam memberikan kandungan yang tepat dan jelas serta memberikan 'impak' untuk menyasarkan pembaca.
3. Memilih tonasi atau penegasan kata penulisan
Tonasi yang dimaksudkan adalah bersifat sederhana atau tidak keterlaluan. Ia mungkin seperti terlalu profesional atau tidak formal. Tonasi ini juga penting untuk mengeluarkan kandungan yang membina kepada pembaca.
4. Tegas dan dominan
Kandungan yang ditulis dapat membantu dalam membina kebolehpercayaan kepada pembaca bahawa kita layak dalam bidang yang disampaikan dan sangat memahami perkara yang ditulis atau dibincangkan. Selain itu, ia juga mampu memberikan pengaruh yang positif kepada sasaran pembaca dengan lebih berkesan.
5. Ayat penulisan atau konteks yang tepat dan khusus
Memastikan sesuatu kandungan atau tajuk dikupas dengan jelas dan lengkap. Jauhi penulisan yang meleret atau merapu kerana ia dapat memberi kesan kepada penyampaian dan penampilan diri melalui penulisan tersebut.
6. Menyemak penulisan
Semakan penulisan adalah amat penting sebelum penulis berkongsi apa yang ditulis kepada pembaca. Penulis perlu memastikan agar tidak ada kesilapan dalam ejaan, penjelasan yang kurang jelas atau 'blur' dan gaya bahasa mestilah betul dalam penyampaian. Penulis juga perlu sentiasa meningkatkan kemahiran menulis agar pembaca mudah memahami apa yang ditulis.
PENULISAN SEBAGAI CARA UNTUK BERKOMUNIKASI
Dapat dilihat pada hari ini, trending di laman media sosial semakin ramai yang berkomunikasi secara penulisan. Bahasa yang digunakan juga melambangkan bangsa atau keperibadian melalui budi bicaranya. Komunikasi yang baik dalam penulisan mesti lah menerapkan gambaran yang baik, sesuai dan betul mengikut konteks agar tidak menimbulkan isu sensitif atau menggores perasaan pihak lain. Masyarakat pada asalnya meletakkan bahawa bahasa itu adalah 'warisan bangsa'. Oleh itu, kesantunan dalam komunikasi penulisan juga perlu diberi perhatian dan tidak dipandang enteng.