HUBUNGI
29 March 2022

Teknik penulisan yang menarik

Setiap individu mempunyai sisi seni yang tersendiri. Ada di antara kita yang gemarkan dunia muzik, kreativiti di dalam perfileman, keberanian di alam penerbitan, cabaran kewartawanan dan tidak lupa juga impian menjadi seorang novelis. Namun, di dalam setiap bidang seni yang kita gemari pastinya bermula dengan sebuah penulisan. Bagaimana saya ingin mula menulis sedangkan saya tidak […]

Setiap individu mempunyai sisi seni yang tersendiri. Ada di antara kita yang gemarkan dunia muzik, kreativiti di dalam perfileman, keberanian di alam penerbitan, cabaran kewartawanan dan tidak lupa juga impian menjadi seorang novelis. Namun, di dalam setiap bidang seni yang kita gemari pastinya bermula dengan sebuah penulisan.

Bagaimana saya ingin mula menulis sedangkan saya tidak mempunyai pengalaman mahupun pengetahuan tentang dunia penulisan? Jangan risau, di sini kami akan kongsikan tips untuk memulakan penulisan anda.

Dapatkan Inspirasi

Untuk permulaan, pastikan anda mempunyai inspirasi. Hal ini kerana, sebagai seorang pengkarya, anda harus memperoleh idea untuk dijadikan sandaran serta asas kepada kehebatan gubahan yang bakal dihasilkan.

Inspirasi ini adalah subjektif dan ia mempunyai ciri-ciri yang sangat luas. Antara inspirasi yang boleh dijadikan sandaran adalah seperti, penulis kegemaran, keindahan alam, keunikan sesuatu objek, minat terhadap aktiviti, seseorang yang dekat dengan diri, mahupun pengalaman yang pernah anda alami.

Sebagai contoh, jika ingin menulis novel, anda boleh mulakan langkah pertama dengan membaca koleksi novel oleh penulis yang digemari. Dari situ anda boleh lihat cara serta teknik penceritaan penulis tersebut. Antara kaedah yang boleh diambil kira adalah dari sudut idea untuk kembangkan plot, keistimewaan dan peranan setiap watak, serta latar cerita yang boleh diketengahkan.

Demi mendapatkan inspirasi, anda harus mempunyai kepelbagaian mengarang cerita sekali gus dapat menghasilkan nilai authorship anda sendiri. Jangan gusar untuk mulakan langkah pertama, jadikan penulisan sebagai eskapisme untuk diri anda dari dunia realiti.

Tetapkan Genre / Tema

Di dalam sesebuah nukilan anda harus menetapkan genre atau tema terhadap penceritaan. Perkara ini penting bagi memastikan karya anda mempunyai momentum dan DNA yang tepat. Maksudnya di sini, sekiranya anda ingin menulis tentang sesuatu objek sebagai inspirasi pastikan dari permulaan, perkembangan, perumitan, klimaks, serta pengakhiran cerita adalah berkenaan objek tersebut. 

Antara contoh yang ringkas adalah, semasa kita di sekolah rendah kita menghasilkan karangan tentang “Aku Sebatang Pen,” atau “Aku Sepasang Kasut”. Di dalam karangan tersebut kita mengetahui bahawa genre cerita adalah drama yang mempunyai nilai sentimental sedih dan emosi.

Permulaan cerita harus diberi penekanan terhadap pengenalan watak/objek utama. Pada permulaan cerita juga anda boleh tetapkan latar belakang watak utama tersebut. Melalui genre penceritaan, anda pastinya sudah tahu ketetapan tema yang bersesuaian untuk digunakan.

Selain dari genre, tema juga perlu dijadikan keutamaan sebagai kerangka asas penulisan. Antara jenis tema yang sering diketengahkan adalah seperti; moral, sosio-budaya, keberanian, futuristik, pengembaraan, dan lain-lain. Tema yang jelas dan tidak terkeluar dari tujuan asal pasti tidak akan membosankan para pembaca.

Struktur Naratif (Penceritaan dan Plot)

Struktur naratif adalah gabungan jalan cerita dan plot. Pada kebiasaannya, jalan cerita digunakan penulis sebagai suatu medium dramatik untuk menyampaikan kisah mengenai sesuatu peristiwa secara kronologi. Pada kebiasaannya para penulis akan menjadi lebih tersendiri dengan turut memasukkan elemen-elemen kejutan.

Tambahan juga anda boleh menjadikan jalan cerita lebih menghiburkan dengan mengadakan beberapa insiden serta situasi lalu membawa pembaca ke arah klimaks yang tidak dijangka. 

Plot atau kata lainnya cara penyampaian cerita adalah di mana kreativiti setiap individu boleh menjadi suatu cabaran yang mengujakan. Plot cerita yang kreatif dan tidak klise akan menjadikan pengalaman setiap pembaca lebih menarik. Hal ini membolehkan hasil karya ciptaan anda menjadi ingatan serta bualan.

Plot yang sering digunakan adalah yang lurus serta mengikut garis masa atau juga dinamakan sebagai Linear Plot. Jika di ambil contoh filem, adalah seperti; Parasites (2019), Grease (1978), dan Jumanji (1995).

Manakala, Non-Linear Plot pula adalah jalan penceritaan yang tidak mengikut garis masa, dengan menggunakan komponen seperti; Imbas Balik, Imbas Muka, Suspens, Monolog dan Monolog Dalaman. Antaranya contoh filem adalah seperti; Forrest Gump (1994), The Inception (2010), The Matrix (1999).

Kami berharap setelah membaca serta mengambil kira tips penulisan di atas, ianya dapat membantu anda melahirkan karya-karya yang hebat serta bermutu tinggi. Konklusinya, jangan gentar untuk menulis dan berkarya kerana sesungguhnya musuh yang paling unggul dan harus kita tawan adalah diri kita sendiri.

Artikel di tulis oleh Putri Mohd Anuar
crossmenu